Tambahan kelab malam ETP rosakkan negara
Usaha kerajaan Malaysia melancarkan Program Transformasi Ekonomi (ETP) sebagai strategi meningkatkan pendapatkan negara adalah suatu usaha yang amat progresif.
Di samping itu, pertambahan peluang pekerjaan adalah antara kesan baik yang bakal dinikmati oleh rakyat apabila projek ini menjanjikan 3.3 juta pekerjaan baru menjelang tahun 2020.
Namun begitu, Kelab Rakan Siswa Islah Malaysia (KARISMA) melahirkan rasa bimbang terhadap usaha transformasi ekonomi melalui industri pelancongan.
EPP Ke-8 dalam Aktiviti Ekonomi Utama Nasional (NKEA) Pelancongan menyasarkan penubuhan enam kelab malam baru yang bakal menampung 900 pengunjung pada hujung minggu menjelang awal 2012.
Dua lagi akan beroperasi pada 2013 dan 2014. Menjelang tahun 2014, disasarkan sekurang-kurangnya 10 kelab malam akan beroperasi di zon hiburan baru hasil daripada projek ini.
Meskipun RM0.7 billion pendapatan negara kasar akan diperoleh serta 5,600 peluang pekerjaan akan ditawarkan menjelang 2020, ia dilihat suatu yang bertentangan dengan cita-cita Wawasan 2020 yang ingin menjadikan Malaysia maju dengan gaya dan acuan tersendiri.
Sebagai sebuah negara Islam dan majoriti rakyat beragama Islam, usaha menambahkan lagi pusat-pusat hiburan ini tidak dilihat selari dengan amalan dan nilai budaya negara ini.
KARISMA menggesa agar kerajaan melihat dengan teliti kesan sosial yang akan berlaku apabila pusat-pusat hiburan sebegini ditambah. Dari sudut ekonomi ia mungkin menguntungkan negara, tetapi dari sudut sosial, tiada yang dapat menafikan bahawa kebejatan sosial juga pasti bertambah.
Suasana hiburan melampau hari ini dan kesannya pada masyarakat seharusnya sudah cukup membimbangkan kita semua apabila kes rempit, rogol, dadah, ragut, samun, perkosa dan lain-lain tidak menunjukkan penurunan.
Amat menghairankan apabila pemimpin negara hanya memandang proses transformasi ini dari sudut pendapatan negara sahaja walhal menutup sebelah mata terhadap kesan sampingan yang bakal terjadi.
Alasan menarik pelancong-pelancong asing melalui pembinaan kelab malam adalah suatu alasan yang tidak kukuh serta bakal merosakkan negara.
KARISMA mendesak agar kerajaan membuktikan sumbangan-sumbangan langsung kepada pembangunan negara yang diperolehi daripada pembukaan kelab-kelab malam selain daripada sudut ekonomi dan peluang pekerjaan.
Pelbagai industri yang bertentangan dengan nilai moral dan agama juga mendapat keuntungan hasil pembukaan hab hiburan dan kelab malam ini.
Antaranya industri arak dan pelacuran sehingga akhirnya membawa kesan jangka panjang yang lebih parah seperti perzinaan, pembuangan bayi, penggunaan dadah serta kerosakan akhlak lain.
Selama ini kerajaan berusaha bersungguh-sungguh membendung budaya-budaya negatif ini, namun begitu ruang yang disediakan cukup luas untuk masalah ini berkembang.
Siapakah yang dapat menjamin bahawa pembukaan hab hiburan baru dan pertambahan kelab malam ini akan menjadikan rakyat Malaysia sebuah masyarakat lebih berakhlak mulia?
Adalah lebih baik sekiranya wang ringgit untuk zon hiburan dan kelab malam ini dilaburkan pada ruang yang lebih sihat seperti memajukan lokasi-lokasi yang melambangkan budaya negara Malaysia bersesuaian dengan tuntutan agama.
Nilai positif dan berakhlak harus diterapkan dalam memajukan sektor pelancongan negara Malaysia sesuai dengan budaya timur yang telah sekian lama diamalkan.
Pendekatan holistik dan bersepadu juga harus dilaksanakan oleh kerajaan dalam membina sebuah negara yang maju baik aspek material mahupun moral masyarakat.
Seharusnya pemimpin negara mengaplikasian ayat Al-Quran dalam Surah Saba' ayat ke-15 yang menyebut “Negara yang baik dan Tuhan Yang Maha Pengampun”.
Kita mahukan negara yang baik di sisi Allah yang akhirnya memberikan keampunan buat rakyatnya. Hanya dengan keredhaan dari Tuhan sahaja akan menjadikan negara ini sentiasa sejahtera dan makmur.
Penulis adalah Presiden Kelab Rakan Siswa Islah Malaysia (KARISMA) 2010
Copy paste dari: malaysiakini
P/s: entahla..sebenarnya kerajaan mencari sebenar-benar penyelesaian kepada permasalahan atau sebaliknya..bukankah, aset negara yang terpenting adalah pemuda-pemuda dan remaja-remaja masa kini. Seandainya mereka rosak, siapakah yang akan memimpin negara di masa akan datang? mahu PM masa depan seorang drug addict? seorang kaki botol? seorang yang gemar clubbing?atau...bla..bla...atau kerajaan selesa dengan duit-duit kutipan/pendapatan negara di belanjakan untuk membina/membaiki proses pemulihan remaja yang sudah rosak?? wahai pemimpin-pemimpin..jika anda benar-benar islam..buktikan keislaman kalian..janganlah melakukan sesuatu yang boleh mengundang bala' Allah...wallahua'alam..
"Mencari Redha Allah"
No comments:
Post a Comment